Saiyid Utsman Betawi - Mufti paling masyhur (Wafat 1333 H)
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
SAIYID Utsman Betawi seorang mufti di dunia Melayu yang paling banyak dipercakapkan orang. Realiti tersebut tidak
dapat kita nafikan kerana memang banyak sebab orang bercakap mengenainya, sama ada orang yang suka mahu pun yang
kontroversi. Setiap langkah kebijaksanaan seseorang ulama atau tokoh besar memang demikianlah yang akan berlaku.
Nama lengkap beliau ialah Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Umar bin Yahya al-Alawi, yang dipopularkan
dengan “Habib Utsman Mufti Batawi”. Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta), 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822
Masihi. Ibunya bernama Aminah anak Syeikh Abdur Rahman al-Mashri. Saiyid Utsman termasuk seorang ulama
keturunan Nabi Muhammad s.a.w, masih asli darah Arab mengalir ditubuhnya. Beliau adalah sahabat ulama besar yang
terkenal, ialah Saiyid Yusuf an-Nabhani, Mufti di Beirut.
Karangan Saiyid Utsman sangat banyak berbentuk naskhah, risalah-risalah dan kitab kecil. Kitab yang tebal kurang
diketahui, namun keseluruhan karyanya, berjumlah 109 buah. Selain aktiviti mengarang, beliau adalah mufti di Betawi, di
samping itu, di bidang bisnes Saiyid Utsman membuka perusahaan cetak sendiri. Dalam memutuskan sesuatu hukum
Saiyid Utsman sangat tegas sekali, tanpa pandang siapapun sehingga mungkin kurang mendapat tempat dalam
perkembangan kebudayaan asli di dunia Melayu, jika kebudayaan itu bertentangan dengan hukum-hukum syarak. Ini
dapat dibuktikan daripada beberapa karya beliau.
Hampir semua ulama asli Jakarta yang ada sekarang merupakan pertalian daripada Saiyid Utsman turun ke murid, tidak
ubah seumpama
Syeikh Abdul Azhim dengan ulama-ulama Madura, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ulama-ulama
Minangkabau; Tok Kenali dengan ulama-ulama Malaysia dan lain-lain seumpama mereka.
Kelicikan seorang Belanda, Snouck Hurgronje kepada Saiyid Utsman mengakibatkan melunturkan namanya di kalangan
ahli gerakan nasional Indonesia. Kekeliruannya dalam bidang politik, seolah-olah ia telah tertipu dengan berbagai-bagai
pujuk rayu daripada sarjana Belanda itu. Tentang ini tidak saya ceritakan dalam artikel ini, kerana telah diriwayatkan oleh
Mr. Hamid Alqadri dalam bukunya, C. Snouck Hurgronje Politik Belanda Terhadap Islam dan Keturunan Arab,
diterbitkan oleh Sinar Harapan, cetakan pertama 1984.
Walau bagaimanapun, Saiyid Utsman tetap termasuk salah seorang yang dicurigai Belanda. Deliar Noer menulis, “Sedang
Saiyid Utsman bin Yahya al-Alawi, yang disebut sebagai “seorang Arab yang berserikat dengan pemerintahan Hindia
Belanda” dan yang menafsirkan perang jihad semata-mata sebagai peperangan melawan “nafsu-nafsu jahat”. Jadi bukan
perang fizik terhadap orang kafir, tidak mendapat kepercayaan penuh daripada kalangan Belanda. Ketika ia berdoa untuk
keselamatan Ratu Belanda pada 1898, ia dituduh “mengelabui mata orang-orang Eropah dengan perbuatannya itu.”
(Gerakan Modern Islam di Indonesia, LP 3ES, 1997, hlm. 2).
Saya meragui tulisan Chaidar, “… terjadilah di sana yang agak meruncing di antara Syeikh Nawawi al-Bantani (ketika itu
masih kanak-kanak) dengan Siayid Utsman al-Alawi.” (Sejarah Pujangga Islam Syeikh Nawawi Al-Bantani, CV. Sarana
Utama, 1978, hlm..60). “… bahawa ketika peristiwa itu terjadi Syeikh Nawawi al-Bantani belum dewasa lagi.” (hlm. 62).
Padahal Syeikh Nawawi al-Bantani lebih tua lapan tahun daripada Sayid Utsman al-Batawi. Syeikh Nawawi al-Bantani
lahir tahun 1230 Hijrah, wafat 1314 Hijrah. Sedangkan Saiyid Utsman al-Batawi lahir 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2
Disember 1822 Masihi, wafat tahun 1333 Hijrah.
Saiyid Utsman al-Batawi ketika hidup seringkali mengadakan komunikasi melalui surat-menyurat dengan Saiyid Yusuf
an-Nabhani di Beirut. Saiyid Utsman al-Batawi sependapat dalam berbagai-bagai jalan pemikiran dengan ulama Beirut
www.tobaqatsyafii.blogspot.com
yang terkenal itu, sama- sama bermazhab Syafie dan sama-sama menentang pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan
Saiyid Rasyid Ridha, ulama pembaharuan yang muncul di Mesir itu.
Atas pengakuan Saiyid Utsman al-Batawi sendiri, bahawa beliau pernah belajar kepada ulama-ulama di Mekah iaitu;
Syeikh Ahmad ad-
Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Muhammad bin Husein al-Habsyi dan Syeikh Rahmatullah. Di
Hadhramaut, beliau belajar kepada Saiyid Abdullah bin Husein bin Thahir, Saiyid Abdullah bin Umar bin Yahya, Saiyid
Hasan al-Bahr dan lain-lain. Di Tunisia, beliau belajar kepada Syarif Muhammad bin Abdul Jawad al-Qabisi.
PENULISAN
Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Arab, Melayu Jakarta, Jawa dan Sunda. Di antara yang dapat disenaraikan ialah;
Jawazu Ta’addudil Jumu’ah, ditulis tahun 1286 H.
Manhaj al-Istiqamah fi ad-Dini bi as-Salamah, selesai pada 5 Zulkaedah 1307 H/1890 H.
Mazil al-Auham wa at-Taraddud fi Amri Shalah al-Jumu’ah Ta’addud, ditulis tahun 1312 H.
Taftih al-Maqallatain wa Tabyin al-Mufsidin al-Makhba-ataini fi ar-Risalah al-Ma’mati bi Shulhi al-Juma’ataini, ditulis
tahun 1313 H.
Al-Qawanin asy-Syar’iyah, ditulis tahun 1317 H.
Perhiasan Bagus.
Shifat Dua puluh.
Samth asy-Syuzur wa al-Jawahir fi Hilli Takhshish an-Nuzur li as-Sadah.
Kitab al-Faraidh.
Hadits Keluarga.
Maslak al-Akhyar.
Abadul Insan.
Iqazhuniyah fi ma Yata’allaqu bi Lahillah wa Shiyam.
Az-Zahrul Basim.
I’anah al-Mustarsyidin.
Thariq as-Salamah.
Salam al-Muslimin.
Terjemah Hukum Islam.
Sa’adah al-Anam.
Tamyiz al-Haq.
Perihal Hukum Azan.
Irsyad al-Anam.
Taftih al-’Uyun.
Miftah as-Sa’adah.
Tafsir Surah Kahfi.
As-Silsalah an-Nabawiyah.
Qamus Tiga Bahasa.
Qamus Kecil.
Hukum Gambar.
Hikam ar-Rahman.
Hadits Empat Puluh.
Bab al-Minan.
Mukhtashar al-Qamus.
Tujuh Faidah.
Dan lain-lain.
www.tobaqatsyafii.blogspot.com
BAHASAN
Menurut riwayat, seluruh karangan Sayid Utsman berjumlah 109 judul besar dan kecil, tetapi yang terbanyak merupakan
risalah-risalah kecil. Bahasan tentang karya beliau dituangkan di sini sekadarnya sahaja iaitu, yang dianggap perlu dan
penting-penting saja. Terjadi peristiwa sedikit pertikaian faham antara
Saiyid Utsman Betawi dengan Syeikh Ahmad Khatihb bin Abdul Lathif al-Minankabawi, pada beberapa aspek hukum
mengenai solat Jumaat. Ada beberapa kitab karya kedua-duanya, yang bercorak “polemik” yang memakan waktu agak
lama.
Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau diperkirakan umurnya jauh lebih muda dari Saiyid Utsman
Betawi. Salah satu bukti bahawa Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau jauh lebih muda daripada Saiyid Utsman Betawi
bahawa dalam tahun 1286 Hijrah Saiyid Utsman Betawi telah mengarang kitab, Jawazu Ta’addudi Juma’atain, Syeikh
Ahmad Khathib Minangkabau waktu itu, baru berusia 10 tahun saja (beliau lahir pada 1276 Hijrah).
Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun sebuah kitab berjudul, Shulhul Juma’atain bi Jawazi Ta’addudil
Juma’atain yang merupakan suatu penjelasan atas beberapa kesamaran sebuah kitab Saiyid Utsman Betawi yang ditulis
pada 1312 Hijrah. Tulisan Syeikh Ahamad Khatib Minangkabau itu sebahagian sependapat dengan tulisan Saiyid Utsman
Betawi dan di antaranya ada yang berlawanan. Tulisan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau itu mengundang kemarahan
Saiyid Utsman Betawi sehingga beliau menyusun kitab berjudul, Taftih al-Maqalatain wa Tabyin al-Mufasidatain (ditulis
pada 1313 Hijrah). Untuk menyanggah kitab Saiyid Utsman Betawi itu, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun
kitab berjudul, Istbat az-Zain li Shulhil Juma’atain bi Jawazi Ta’addud al-Jumu’atain fi Raddi ‘alal Kitabil Musamma
Taftih al-Maqalatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Kitab-kitab polemik kedua-dua ulama besar dunia Melayu itu ditulis
dengan bahasa Arab.
Sebenarnya sebelum terjadi peristiwa tersebut telah terjadi terlebih dahulu pertikaian di antara Syeikh Ahmad Khathib
Minangkabau dengan “Al-’Allamah
Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami” sahabat Saiyid Utsman Betawi. Saiyid Utsman Betawi menyebut bahawa, karya
beliau telah disambut dan diakui oleh beberapa ulama besar yang terkenal,
iaitu selain Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Junaid Betawi terdapat nama-nama Syeikh Muhammad Sa’id Ba
Bashail, Mufti Syafi’iyah di Mekah, Saiyid Ahmad bin Zainal Dahlan Mufti Syafi’iyah Mekah, Saiyid al-Allamah Abdur
Rahman bin Muhammad al-Masyhur, penyusun kitab fikah terkenal berjudul, Bughyatul Mustarsyidin, pujiannya atas
kitab Saiyid Utsman Betawi judul, I’ahatul Mustarsyidin dan al-’Allamah as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Satu
fenomena yang aneh, kerana semua ulama yang membenarkan karangan Saiyid Utsman Betawi adalah para guru Syeikh
Ahmad Khathib Minangkabau.
Karya
Dalam karyanya berjudul, a-Qawanin asy-Syar’iyah li Ahli al-Majalis al-Hukmiyah wa al-Iftaiyah (ditulis pada 1317
Hijrah) banyak juga perkara yang belum pernah dibahas oleh ulama dunia Melayu sebelumnya. Di- antaranya, Saiyid
Utsman Betawi mengemukakan pedoman untuk memilih perkara-perkara ‘yang muktamad dan ‘yang tidak muktamad’
menurut Mazhab Syafie, contohnya: 1. Qaul (pendapat, pen:) yang muktamad dalam Mazhab Syafie, iaitu yang
dii’timadkan (diperpegangi) oleh Imam an-Nawawi dan Imam ar-Rafie. 2. Jika kedua-duanya bertikai, maka yang
muktamad ialah pendapat Imam an-Nawawi. 3. Jika ada qaul yang disebut oleh salah seorang daripada kedua-duanya,
maka itu juga dihitung muktamad. 4. Jika tidak terdapat qaul daripada kedua-duanya, maka yang muktamad ialah
mengikut ‘Ahli at-Tarjih’.
www.tobaqatsyafii.blogspot.com
5. Jika bertentangan satu sama lain yang dikarang oleh Imam Nawawi sendiri, maka yang muktamad adalah yang
dikarang terkemudiannya. Sebagaimana tertib satu-satunya Tahqiq, Majmu’, Tanqih, Raudhah Minhaj dan lain-lain.
Demikian pula didahulukan qaul yang mufakat pada banyak kitabnya atas yang mufakat pada yang sedikit. Dan
didahulukan qaul yang tersebut di ‘Bab’nya atas yang tersebut pada bukan ‘Bab’nya. 6. Sekalian qaul muktamad Imam
Nawawi dan Imam Rafie, iaitu yang dii’timadkan oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah dan Syeikh ar-Ramli di dalam
Nihayah. Tuhfah dan Nihayah dipandang yang paling muktamad daripada lainnya. 7. Jika bersalahan kitab Ibnu Hajar
sendiri, maka didahulukan Tuhfah, kemudian Fath al-Jawad, kemudian al-Imdad, kemudian, Fatawa, dan seterusnya
kitab-kitab yang lain.
Pada fasal yang kelima al-Qawanin asy-Syar’iyah, Saiyid Utsman Betawi memperkenalkan aturan mengenal susunansusunan
Minhaj dan Tuhfah.
0 komentar:
Posting Komentar